Diari Trainer | Apabila trainer dikursuskan peserta sendiri

Kata-kata ini menjadikan berulang kali saya sebut kepada tim yang bersama-sama mengendalikan kursus ini, “Realitinya kita tidak mengendalikan kursus, tetapi kita yang dikursuskan. Hati kita sedang dilatih oleh mereka.”

Selepas pembentangan kertas kerja, bergegas pulang ke Kuala Lumpur. Keesokan harinya bermula Kursus Professionalisme Orang Kelainan Upaya (OKU). Ia dikendalikan oleh Bahagian Dakwah JAKIM dan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Seramai 60 orang peserta OKU penglihatan dari jabatan swasta dan kerajaan menyertai.
Bagi mereka yang baru mengetahui mengenai PERTIS, berikut merupakan sedikit catatan.
Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia ialah sebuah pertubuhan sukarela berdaftar dengan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (No. Pendaftaran PERTIS : 2388). Ia berperanan memberi perkhidmatan bagi faedah masyarakat cacat penglihatan beragama Islam di Malaysia. Bermatlamat memperbaiki taraf kebajikan, pendidikan, sosio-ekonomi serta kefahaman Islam masyarakat cacat penglihatan. 
—-
Sejak Januari 2011 diikuti pada bulan Februari, Mac dan April, Allah mengizinkan kami bekerjasama dengan pihak JAKIM dan majlis agama negeri dalam program pelbagai. Ia diteruskan dengan program ini.

Jumlah 60 orang peserta adalah besar bagi tujuan mengendalikan bengkel kemahiran, yakni mengalihkan skil melalui kaedah ‘lakukan, format dan lakukan kembali’. Ia mesti dilakukan satu demi satu, seorang demi seorang. Mudah-mudahan dengan izin Allah, ia dapat dipraktikkan oleh peserta.
Ini adalah cabaran pertama kami kerana kami tidak pernah mengendalikan kursus melihatkan mereka yang tidak dapat melihat. 
Dari aspek presentasi visual, ia menjadi sesuatu yang perlu kami ganti kepada lebih bersifat audio dan kinestetik.
Kedua, ia melibatkan jumlah yang besar. Peserta dipecahkan kepada dua kumpulan. Bertujuan memastikan para trainer dapat mengendalikan 30 orang peserta bagi sesi sepanjang hari.
Pandangan mentor yang berpengalaman dalam mengendalikan program melibatkan OKU penglihatan juga diambil kira. Panduan mentor menjadi kepentingan bagi memastikan para peserta dapat mencapai objektif kursus.
Persepsi bahasa melalui pemilihan kata yang tepat bagi memastikan kami menyampaikan mesej yang tepat. Perkataan melihat diulang ganti dengan perkataan mendengar. Ini bagi memecah kebiasaan skrip mengendalikan sesi training sebelum ini. Keterbukaan mereka dalam aspek jenaka memberi satu perspektif baru kepada saya.
Dalam sesi memperkenalkan diri sahabat, salah seorang peserta berkata, “Saya ingin memperkenalkan rakan saya. Sahabat saya hitam-hitam manis sahaja.”
Masing-masing ketawa dan ia berlarutan kepada peserta-peserta lain. Mereka amat positif dan memberi energi kembali kepada trainer dan fasilitator.
Ilmu baru adalah momentum kepada keseluruhan program ini. Ia menjadi faktor kesegaran dalam setiap aktiviti yang diadakan dalam setiap sesi.
Ustaz Kamaruddin yang membantu dalam menyelaraskan program sepanjang tiga hari ini sudah menjangka apa yang akan kami lakukan pada hari pertama. Hari sebelum program bermula. Sebagaimana program terdahulu, meja makan VIP yang disediakan penganjur biasanya kosong dan tidak kami penuhi. Melainkan dalam keadaan yang memerlukan kami di situ. Sebaliknya kami akan duduk dan makan bersama peserta. Kami berpecah duduk di meja berbeza dalam kumpulan peserta berbeza.
Saya hanya berdiam diri memerhatikan interaksi mesra mereka. Apa yang mereka bualkan, topik yang disampaikan, jenaka yang menjadi kesukaan mereka dan persepsi mereka mengenai kursus sebenar. Sementara rakan trainer Tuan Shamsuddin Kadir sudah berbicara mesra bersama peserta di meja satu lagi. 
Dengan cara ini kami dapat mengenalpasti apakah perubahan dalam program yang akan dikendalikan keesokan harinya.
Makan bersama mereka memberi satu pengalaman baru kepada saya. Hari ini saya dapat menghulur air, memaut lengan, berjalan sambil pegang bahu, bercakap dengan ‘ayah’. Dia hanya dapat mendengar dan menyentuh saya sahaja. Peserta yang saya kenali dengan nama Tuan Haji Ismail Omar sangat mesra berbicara.

Kekuatan program ini datang daripada sikap positif mereka, keinginan mencuba yang tinggi dan keterbukaan mereka dalam satu persatu aktiviti. Antaranya yang ditekankan dalam komunikasi organisasi sebagaimana yang mereka mahu pelajari adalah seni berpengaruh dengan intonasi suara, kaedah bahasa tinggi dan bahasa pasar, memahami konsep persuasif dan kategori ampu dalam organisasi serta perkataan berpengaruh dalam interaksi.
Malah mereka tepat pada masa. Jika bermula jam 2.30 petang, maka tepat jam 2.30 petang semua sudah berada di bilik latihan.
Dalam kursus ini saya mendapat maklumat betapa blog yang mempunyai audio cukup menyusahkan mereka. Kerana mereka tidak dapat mendengar ayat yang dibacakan dalam blog apabila lagu itu dimainkan dalam blog tersebut. 
Mengendalikan kursus ini memberi beberapa ilmu pengetahuan baru kepada kami
  • Penyediaan makanan berhidang kepada mereka dari aspek apa yang perlu.
  • Anjakkan masa sebelum rehat bagi memudahkan mereka.
  • Lokasi dewan dan tempat program.
  • Keperluan mereka apa yang mahu dipelajari dalam kursus.
  • Skrip dan dialog yang digunakan peserta.
  • Memaksimakan penggunakan teknik bunyi dan sentuhan.
  • Powerpoint juga membantu jika ditulis teks  yang dapat diaudiokan mereka.
  • Jenis jenaka yang diterima.

Berikut merupakan catatan ringkas sepanjang mengendalikan kursus melalui FB
Mentor di ILIM memberi pandangan kepada saya, “Kekurangan dalam diri adalah tambahan pengalaman satu persatu yang mengukuhkan jiwa.” [via Celcom SMS]
Live ILIM | Saya belajar daripada para peserta OKU penglihatan, “Percaya pada hati sebagaimana kami percaya pada tangan ini memimpin.” [via Celcom SMS]
Live ILIM | Saya belajar daripada mereka, merapatkan saf dengan ‘tangan’ kanan yang menyentuh hati jemaah. [via Celcom SMS]
Live dari ILIM | Sebenarnya ‘kami’ yang sedang ditraining. Terima kasih Allah. [via Celcom SMS]
Live dari ILIM | Peserta mengajar kami, “Orang mengejar warna dunia, sedangkan berbuat baik itu di mana?” [via Celcom SMS]

Sedikit catatan daripada Facebook rakan trainer Tuan Shamsuddin Kadir,
“?3S untuk komunikasi pertemuan sebagai kesimpulan kursus sehari di Institut Latihan Islam Malaysia. Dari peserta OKU Penglihatan iaitu Cik Puan Suhada. Salam, Sapa dan Senyum.”
“Maafkan saya | Belum kursus di ILIM bermula, airmata sudah mengalir apabila memilih untuk makan bersama dengan peserta kursus yang OKU penglihatan. Bayangkan apabila kita dihidangkan makanan dalam keadaan tidak dapat melihat, semua yang ada dalam pinggan itu kita makan. Ya Allah jadikan dunia ini tempat mereka memperolehi pahala yang menjadikan mereka kaya raya di Akhirat. Amin.”
Insya Allah, kepada Tuan dan Cik Puan yang berminat mengendalikan kursus komunikasi berpengaruh organisasi dapatlah mengemelkan ke zamrimohamad@gmail.com
—- Catatan berakhir
Diari program saya akan datang. Berminat menyertai program di bawah? Klik program pilihan.
  • Kursus Minda Kreatif, menjana idea gila-gila bagi organisasi dan bisnes. Klik di sini.
  • Kursus Penulisan Ekspress untuk Penulis Bebas Akhbar dan MajalahKlik di sini

Leave a Reply