Posts Tagged ‘Bentang Pustaka’

Survival daripada rasa patah hati

Wednesday, December 2nd, 2009
Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Daripada pembaca buku perhubungan dan cinta, Memahami Bahasa Cinta Lelaki terbitan PTS Millenia.

Dalam satu kajian di Barat, 95% pasangan mengalami situasi putus cinta tidak berbalas sebelum ulang tahun kelahiran ke-25.

Profesor Helen Fisher dari Jabatan Antropologi Universiti Rutgers mencadangkan beberapa panduan bagi menghadapi perpisahan atau kekecewaaan dalam percintaan.

Berceritalah dengan orang yang dapat dipercayai. Dapatkan kata-kata yang bijaksana yang dapat menghiburkan gundah-gulana di hati. Mendekatkan diri kepada Tuhan melalui majlis ilmu dan bergaul dengan mereka membawa kepada hakikat baru dalam kehidupan.

Jangan jadikan dadah ataupun arak sebagai jalan bagi melupakannya. Ia hanya memberi masa tetapi bukan jalan penyelesaian. Jauhi diri daripada kegilaan ini. Sebaik-baiknya jangan simpan apa sahaja bentuk kenangan sama ada berbentuk gambar, kad-kad, surat ataupun cuba menghubunginya melalui telefon, apatah lagi bagi kita menjadi rakannya.

Carilah hobi baru. Keluar dan kenali sebanyak mungkin rakan-rakan baru untuk kita dapati. Penuhi masa senggang dengan aktiviti berfaedah.

Jangan berbaring di katil dan memainkan pita kenangan berkali-kali. Lakukan perkara yang menarik pemikiran kita ke arah perkara lain.

Secara perlahan-lahan, fisiologi otak yang masih dalam suasana keseronokan dahulu akan berkurangan.

Tangisan mampu memberi kelegaan. Namun minda perlu selalu disedarkan dengan hakikat kehidupan perlu diteruskan bukan dengan tenggelam dalam penyesalan. Usah peduli dengan komen negatif yamg memburukkan keadaan.

Hindarkan diri daripada kita membuat keputusan-keputusan besar kerana keadaan kita masih dalam kedukaan dan dipengaruhi emosi yang tidak stabil.

Berjumpalah dengan rakan-rakan lama yamg mampu membuat kita gembira dan tertawa.
Perbaikilah penampilan diri. Selalu katakan kepada diri setiap hari kita lebih bersedia dan lebih baik dari semalam.

Bermainlah dengan haiwan peliharaan seperti kucing dan arnab kerana ia dapat membantu memberi ketenangan.

Jangan cuba menjadikan orang lain sebagai sumber penyelesaian masalah. Membina hubungan cinta yang baru dalam jangka masa yang singkat bukan penyelesaian kerana realitinya kita masih belum sedia.

Menulis luahan hati dan perasaan marah pada helaian kertas dan membakarnya adalah satu cara meredakan emosi.

Makan apabila tiba waktunya. Jangan menyeksa diri dengan pemikiran yang tidak sihat. Sentiasa amalkan pemakanan seimbang dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.

Aktiviti mengeluarkan peluh seperti sukan, berkebun dan apa sahaja bentuk aktiviti fizikal membantu mengembalikan mood selain menyihatkan tubuh badan.

Bacala buku-buku yang memberi keyakinan diri. Al-Quran adalah sumber inspirasi yang berkesan membawa diri kembali kepada kedudukan yang seimbang.

Sentiasa menyebut kata-kata positif pada diri ataupun mengulang-ulang ayat Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 216, maksud “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Tuhan mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Sediakan senarai sahabat-sahabat, kekuatan yang ada, kelemahan diri dan perancangan masa depan kita. Ini dapat meningkatkan keyakinan diri kita.

Rujukan Memahami Bahasa Cinta Lelaki terbitan PTS Millenia.

Nota: Sebarang cerita, komen dan kritikan dialu-alukan.

——

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.

Bagaikan Aisyah | Cemburu suami dan lampin si bayi

Saturday, November 28th, 2009
Petikan buku Bagaikan Aisyah di Hati Rasulullah
Sekuel daripada buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasulullah

Oleh Zamri Mohamad

Lelaki dengan kisah cemburu positifnya. Inilah yang saya peroleh semasa sembang-sembang malam bersama seorang sahabat yang merupakan suami dan bapa kepada tiga orang anak.

Cemburu yang baik selalu akan digunakan bagi bertindak dalam memberi hasil yang menguntungkan semua pihak. Beberapa minggu yang lalu, sahabat ini baru sahaja menimang cahaya mata ketiganya, seorang bayi lelaki.

Sempat juga saya bertanyakan bagaimana sahabat ini membahagikan masanya bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil, khususnya yang masih bayi.

“Kami bergilir menjaga bayi. Biasanya, Sabtu dan Ahad memang saya buat habis-habisan. Dari menyediakan susu anak sampailah membasuh kain lampinnya,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Tidak berapa lama kemudian, dia menyambung ceritanya, “Saya memang cemburu pada isteri apabila melihat dia menjaga anak-anak. Cuba saudara beritahu saya. Sehingga hari ini dalam usia saudara, siapakah dalam ahli keluarga yang paling rapat dengan saudara?”

“Ibu,” jawab saya tanpa ragu-ragu.

“Kenapa?” soalnya lagi meminta saya memberi alasan jawapan itu.

“Sebab ibu yang paling rapat dengan diri saya. Dari kecil sampai besar, kebanyakan perkara saya cuba berunding dengan ibu meminta pandangannya.”

“Fahamkah mengapa saya cemburu dengan isteri sendiri?”

Benar kata sahabat ini, tempoh waktu yang lama bersama dalam jagaan ibu menjadikan jarak hubungannya jauh lebih dekat berbanding seorang bapa. Kebanyakan anak mempunyai pengalaman sedemikian dan cemburu seorang lelaki dalam hal kekeluargaan seperti ini mempunyai kebaikan bagi keluarga.

“Sekarang ini, saya selalu bersaing hendak memberi waktu yang terbaik dengan anak-anak. Sehinggakan anak-anak sendiri mempunyai waktu berkualiti dari ibu bapanya sendiri. Moga-moga wujud keadaan erat antara kami dan anak-anak,” kata-kata terakhirnya disambut dengan anggukan, tanda setuju.

Nota: Sebarang cerita, komen dan kritikan dialu-alukan.

——

Zamri Mohamad adalah penulis 10 buah buku, jurulatih penulis bebas, perunding di Akademi Penulis dan jurulatih pemasaran perniagaan kecil di internet di kursusperniagaan.com dalam bidang penulisan iklan di internet. Sertai seminar, miliki buku dan ketahui lebih lanjut penulis buku di Malaysia di laman web rasmi.